Wednesday, 11 September 2013

Sesi Ke-4: Kenali al-Quran Kitani (KQK)


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sesi minggu ini adalah sesi KQK, iaitu Kenali Al-Quran Kitani. Pada sesi kali ini diadakan aktiviti bagi ahli-ahli Kelab al-Quran UBD.

Sesi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Tuan Pengerusi dan beberapa kata alu-aluan dari Tuan Pengerusi. Kemudian, sesi diteruskan dengan bacaan tilawah al-Quran dari Surah Al-Furqan ayat 1-6 yang dibacakan oleh Abdul Hannan bin Haji Morshid. Terjemahan surah tersebut dibacakan oleh Ahmad Najib bin Haji Adnan.

Sesi diteruskan lagi dengan aktiviti KQK. Ahli-ahli Kelab al-Quran dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu muslimiin dan muslimaat. Setiap kumpulan diberikan penerangan mengenai cara permainan Kenali al-Quran Kitani (KQK) ‘board game’ oleh salah seorang ahli jawatan kuasa Kelab al-Quran. Setelah aktiviti permainan selesai, sesi diteruskan dengan perkongsian ilmu mengenai pengajaran yang dapat diambil dari aktiviti KQK. Penyampaian hadiah diberikan kepada tiga orang pemenang sahaja bagi setiap kumpulan. Setiap ahli yang hadir diberikan penanda buku sebagai cenderamata dari kelab Al-Quran. Setelah itu, ahli-ahli Kelab al-Quran dijemput untuk menikmati jamuan ringan. 

Sesi aktiviti berakhir dengan bacaan Surah Al-Asr sebagai doa penutup.

Board game muslimiin


Board game Muslimaat


Cenderamata berupa penanda buku


 
Bacaan tilawah al-Quran sebelum aktiviti permainan dimulakan


Ahli-ahli kelab khusyu' mendengar sambil menelaah ayat yang dibacakan


AJK memberi penerangan kepada kumpulan Muslimiin


AJK memberi penerangan kepada kumpulan Muslimaat



Permainan board game KQK dimulakan

Friday, 6 September 2013

Al-Waqf & Al-Ibtida'

بسم الله الرحمن الرحيم

Al-Waqf (الوقف)
  • Pengertian menurut bahasa: Berhenti/menahan.
  • Pengertian menurut istilah Ilmu Tajwid: Menghentikan bacaan dengan cara memutuskan suara di akhir perkataan sekejap untuk bernafas dengan niat akan menyambung bacaan semula.
  • Enam jenis:
  1. Waqf Tam (وقف تام)
  2. Waqf Kafi (وقف كاف)
  3. Waqf Hasan (وقف حسن)
  4. Waqf Qabih (وقف قبيح)
  5. Waqf Ja’iz (وقف جائز)
  6. Waqf Ta’anuq (وقف تعانق)

Waqf Tam (وقف تام)
  • Ertinya: Berhenti Sempurna iaitu berhenti pada ayat yang tidak ada tergantung makna dan lafaz pada ayat sebelumnya.
  • Dikenali juga sebagai:  Waqaf Lazim.
  • Tanda: ( مـ )

Waqf Kafi (وقف كاف)
  • Ertinya: Berhenti memadai/mencukupi iaitu menghentikan bacaan pada rangkaikata yang sempurna dari segi lafaznya tetapi maknanya masih terikat dengan kata-kata yang berikutnya.
  • Tanda: ( قلى ) – berhenti bacaan padanya adalah lebih utama.

Waqf Hasan (وقف حسن)
  • Ertinya: Berhenti elok/baik iaitu menghentikan bacaan pada rangkaikata yang sempurna makna pada dirinya, tetapi makna dan lafaznya masih terikat dengan kata-kata yang berikutnya.
  • Tanda: (صلى) – menyambung bacaan terus adalah lebih utama.

Waqf Qabih (وقف قبيح)
  • Ertinya: Berhenti tidak elok iaitu menghentikan bacaan pada rangkaikata yang tidak sempurna maknanya, kerana makna dan lafaznya masih terikat dengan kata-kata yang berikutnya.
  • Tanda: (لا) – tidak elok berhenti bacaan padanya.

Waqf Ja’iz (وقف جائز)
  • Ertinya: Berhenti harus iaitu menghentikan bacaan pada rangkaikata yang tidak sampai merosakkan maknanya.
  • Tanda: (ج) – harus berhenti bacaan padanya ataupun terus menyambungkan bacaannya.

Waqf Ta’anuq (وقف تعانق)
  • Ertinya: Berhenti berikat/berpeluk iaitu sejenis waqaf yang perlu kita perhatikan lebih dahulu di mana kita akan berhenti bacaan pada  satu di antara kedua tempat waqf yang berdekatan.
  • Dikenali juga sebagai Waqaf Muraqabah.
  • Tanda: ( .’. .’. ) – boleh berhenti pada salah satu tanda tersebut atau harus bacaannya disambung terus (tidak berhenti pada tanda pertama dan kedua)

Tanda berhenti

Al-Ibtida’ (الابتداء)
  • Pengertian dari segi bahasa: Permulaan.
  • Pengertian dari segi istilah Ilmu Tajwid: Memulakan bacaan setelah tamat/mengakhiri bacaan atau baru hendak memulakan bacaan al-Qur’an, biasanya memulakan bacaan dari awal surah atau awal ayat, atau menyambung bacaan setelah memberhentikan bacaan untuk bernafas, sama ada di akhir ayat atau di pertengahan ayat.
  • Dua bahagian:
  1. Permulaan harus/Ibtida’ Jaiz (ابتداء جائز)
  2. Permulaan tidak elok/Ibtida’ Qabih (ابتداء قبيح)

Ibtida’ Jaiz (ابتداء جائز)
  • Memulakan bacaan dari rangkaikata yang sempurna makna yang dikehendaki Allah (s.w.t).
  • Imam Ibnu al-Jazari berkata dalam kitabnya al-Nasyr: Setiap yang harus berhenti bacaan di atasnya harus memulakan bacaan dengan selepasnya.

Ibtida’ Qabih (ابتداء قبيح)
  • Memulakan bacaan dari rangkaikata yang tidak sempurna maknanya seperti merosak atau menimbulkan keraguan terhadap maksud ayat, kerana makna dan lafaznya masih terikat dengan rangkaikata sebelumnya, atau membawa makna yang tidak dikehendaki Allah (s.w.t)

Wednesday, 4 September 2013

Sesi Ke-3: Sesi Tarannum



Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sesi tarannum bagi Kelab Al-Quran baru bermula pada 4hb September 2013 yang dibimbing oleh Mohd. Shair bin Haji Shamsuddin, seorang graduan Degree UBD. Sesi ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Tuan Pengerusi.

Kemudian sesi diteruskan dengan pengenalan Tarannum. Tarannum berasal dari perkataan ‘رنم’. Ia mempunyai 4 peringkat suara iaitu: قرار (Qoror), نوا (Nawa), جواب (Jawab) dan جواب الجواب (Jawabul Jawab). Alunan suara ada 7 iaitu: 1) Bayati, 2) Soba, 3) Hijaz, 4) Nahawand, 5) Rast, 6) Sikah dan 7) Jiharkah. Latihan vokal dan pernafasan diadakan beramai-ramai di antara dua kumpulan, iaitu kumpulan muslimiin dan muslimaat. Kemudian sesi diteruskan dengan latihan pembacaan Al-Quran dengan alunan bayati beramai-ramai dari ayat yang diberikan. Mohd. Shair memberikan contoh alunan bayati dari Surah Al-Baqarah ayat 103-105. Semua ahli yang hadir membaca Surah Al-Mu’minuun ayat 1-3 beramai-ramai dengan alunan bayati.

Sesi diakhiri dengan bacaan Surah Al-'Asr secara beramai-ramai.



Contoh ayat-ayat alunan Bayati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...