Wednesday 12 February 2014

Sesi 2: Pemakanan Dalam Al-Quran Dan As-Sunnah




Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sesi ke-2 telah berlangsung pada hari Rabu, 12hb Febuari 2014. Sesi pada kali ini bertemakan Pemakanan dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Sesi dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah oleh juru acara, Md Zainul Akhir Mohidin dan kata alu-aluan.

Sesi diteruskan dengan agenda pertama iaitu pembelajaran tajwid. Agenda ini dikendalikan oleh seorang tenaga pengajar yang bernama Dayangku Nur Ain Pengiran Ali. Beliau merupakan seorang guru muqaddam yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Masjid juga selaku Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Kelab Al-Quran UBD. Pembelajaran tajwid bagi sesi ini menumpukan pada Makhraj Huruf. Ahli-ahli dan juga AJK-AJK kelab diarahkan untuk mempraktikkan cara-cara sebutan huruf yang betul melalui bacaan Surah al-Fatihah.

Setelah itu, sesi diteruskan lagi dengan agenda ke-2 iaitu huraian ayat al-Quran, Surah an-Nahl ayat 69, berdasarkan tema iaitu ‘Pemakanan dalam Al-Quran dan As-Sunnah’ yang disampaikan oleh Muhamad Zulfadilah Beelie. Beliau merupakan Setiausaha ke-2 Kelab Al-Quran UBD. Huraian yang disampaikan adalah mengenai lebah yang mana huraian tersebut berdasarkan penjelasan yang telah diberikan oleh seorang pakar tafsir dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Kemudian, Ahmad Najib Haji Adnan, iaitu pelajar Ijazah Sarjana Biology yang juga ketua Logistik Kelab Al-Quran UBD, berkongsi ilmu tentang madu, lebah dan kelebihan buah-buahan yang disebut dalam Al-Quran.

Agenda ke-3 bagi sesi kali ini ialah praktikal cara penyediaan makanan dan minuman ringkas berdasarkan huraian-huraian yang telah disampaikan. Agenda ini dikendalikan oleh Muhamad Zulfadilah Beelie.

Sesi diakhiri dengan bacaan tasbih kifarah dan Surah al-Asr sebagai doa penutup. Sebelum bersurai, ahli-ahli dijemput untuk menjamu makanan dan minuman hasil daripada praktikal yang telah dibuat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...